Sama-samalah Kita Laksanakan Insyaalah!!!
Hari Arafah merupakan hari yang mempunyai kelebihan tersendiri. Jika para jemaah haji diwajibkan berada di padang Arafah untuk wuquf di sana, kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji dianjurkan untuk berpuasa pada hari ini. Kedatangannya setahun sekali ini janganlah disia-siakan. Kita juga dianjurkan untuk berzikir dan berdoa kepada Allah pada hari ini. Di sini dipetik beberapa buah hadis untuk renungan kita bersama.
Daripada Abi Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W telah ditanya mengenai puasa hari Arafah? Maka jawab Rasulullah S.A.W yang artinya: Dikaffarah (ampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang. (Hadis isnad sohih dikeluarkan oleh imam Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)
Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Tiada dari hari dalam setahun aku berpuasa lebih aku gemari daripada hari Arafah. (Hadis isnad sohih dikeluarkan oleh Ibnu Abu Syaibah dan Baihaqi)
Daripada Anas bin Malik telah berkata : Adalah dikatakan pada hari-hari sepuluh setiap hari(menyamai) seribu hari, hari Arafah(menyamai) sepuluh ribu. ….Telah berkata imam Baihaqi yaitu pada kelebihan. (Hadis isnad hasan dikeluarkan oleh imam Baihaqi dan disebut oleh imam Sayuti)
Semoga amalan kita bertambah dari tahun yang telah lalu dan dosa kita diampunkan oleh Allah. Gunakanlah segala peluang yang ada demi menambah lagi bekal akhirat kita sebelum bertemu Allah di hari yang tidak ada pertolongan lain selain mereka yang menemuiNya dalam keadaan hati yang bersih dan selamat daripada kekotoran dosa dan noda.
Rujukan:
1. Kitab Fadhailul Auqat oleh Abi Bakar bin Al-Husin Al-Baihaqi di kaji oleh Adnan Abdul Rahman Majid Al-Qaisi cetakan Maktabah Al-Manarah Makah Mukarramah